Memo 1434 Hijrah
Assalamualaikum wbt. Salam Maal Hijrah 1434.
Hari ini adalah tahun baru dalam kalendar Islam, 1 Muharram 1434 H. 1434 tahun yang lalu Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w berhijrah bersama satu rombongan ummat Islam dari Makkah al-Mukarramah ke Madinah al Munawwarah.
Hari itu, seperti yang diceritakan tok-tok guru, ustaz-ustaz, imam-imam dan mereka yang menghayati pengertian hijrah ini, adalah suatu peristiwa perpindahan yang bukan semata-mata dalam betuk fizikal. Tapi mental dan emosi ummat Islam yang dulu sering ditindas kaum kafir turut berhijrah ke satu fasa yang lebih kental, dengan membawa harapan yang besar ke Kota Cahaya, mudah-mudahan Islam menapak dengan lebih bebas dan terpelihara.
Peristiwa hijrah adalah peristiwa pengorbanan, peristiwa penyatuan, dan peristiwa kebangkitan roh-roh Muslim sejati. Berkorban meninggalkan segala tanah pusaka dan bahkan kaum keluarga, bersatu Aus dan Khazraj dua bangsa sengketa menjadi satu bangsa pelindung Ansar, bersatu Ansar dan Muhajirin menjadi satu ummat di bawah pimpinan Rasul Agung Muhammad saw, dan di bawah teduhan payung Islam, satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah swt.
Kalau mahu belajar membina keluarga, membina masyarakat, bahkan membina negara, hayatilah peristiwa hijrah dan rentetan-rentetan peristiwa selepas itu sehinggalah tertubuhnya negara Islam Madinah. Selami buku-buku yang mengupas perihal fiqh kenegaraan. Saya bukan pemimpin sebuah negara, negeri pun tidak. Tapi saya yakin untuk membina sebuah negara bukan perkara mudah. Tak mahukah kita menjadi sebagai sebahagian aset negara yang membantu pemimpin kita membina satu generasi berintegriti. Integriti itu bahasa moden, bahasa yg sudah lama Rasullullah guna ialah "amanah".
Amanah itu suatu yang berat. Amat berat. Langit dan bumi pun tidak sanggup memikul amanah, tapi manusia dengan segala sifat kekurangan dan kelebihan berani-berani mendah tangan. Tidak ada masa terundur. Kita perlu galas amanah itu. Makmurkan bumi Tuhan. Hidupkan bumi Tuhan, dengan segala kebaikan.
Hari ini, adalah hari selepas 1434 tahun Rasulullah berhijrah dan terus mengusung dan melaksanakan amanah. Dengan adanya peristiwa hijrah ini, ramai yang berazam untuk memperbaiki diri. Penyayangnya ar-Rahim sentiasa akan memaafkan dan memberi peluang kepada hambaNya untuk memperbetulkan kesilapan. Jangan putus asa kalau azam yang lepas tidak terlaksana, tapi biar ada sedikit rasa malu agar kita beringat di tahun-tahun seterusnya.
Pantai Rantau Abang, 13/11/12 |
Kawan, setelah azam tahun lepas terhakis seperti pasir pantai, mari berazam buat kesekian kalinya. Payung ISLAM sudah ada, mari berteduh di bawahnya. Mari muhasabah dan bandingkan diri dengan garis panduan yang sedia ada dalam Islam. Mari bekerja di bawahnya, mari belajar apa yang bermanfaat padanya, mari berbincang, muzakrah demi menjaga kedaulatannya, mari mendidik agar ia tertanam di hati keluarga kita, mari berkasih-sayang berharmoni seperti namanya. Mari perbetulkan diri demi nama Islam yang kita pada diri kita.
Comments
Post a Comment