amanat dari senior.

Mataku tak berkelip tatkala membaca ucapan dasar bekas Chief coordinator faci team.. betapa semangat yang cuba disampaikan oleh beliau kepada anak-anak buah faci berjaya ditulis dengan baik sekali.. Sepanjang hari ni pasti aku cuba untuk menghadam setiap butiran yang tercatat...

---->copy dary faci team yahoo group.
Inilah Haluan Kita
Oleh: Ahmad Safwan Mohamad
Memulakan langkah sebagai ahli fasilitator team mungkin adalah langkah kanan bagi anda. Anda mungkin dapat merasakannya, dan mungkin juga tidak. Namun, bagi kita yang sudah ‘veteran’ dalam arena ini, itulah yang kita rasakan; bertuah dan berbuah. ‘Bertuah’ kerana kita telah dipilih oleh Allah untuk menjalankan amanah ini, yang akan menjadi modal untuk kita di akhirat nanti, manakala ‘Berbuah’ kerana kita dapat rasakan sendiri perubahan dan kematangan yang kita alami sepanjang menjalankan proses mendepani masyarakat ini.
Jika ada di kalangan kita yang merasakan Faciteam adalah sebuah organisasi picisan, mungkin anda perlu berfikir semula. Faciteam bukanlah sebuah organisasi picisan. Faciteam bukanlah hanya sekadar sebuah platform untuk bergiat aktif di celahan masyarakat. Bahkan Faciteam adalah lebih daripada itu.
Kita perlu percaya dan berpegang bahawa Faciteam adalah suatu ‘Akedemi’ bagi kita. Dan akedemi ini bukanlah sekadar akedemi sembarangan. Akedemi Faciteam adalah akedemi duniawi dan ukhrawi. Jika perkara ini adalah baru bagi anda, maka biasakanlah diri anda dengan fakta ini.
Sejarah dan Kini
Jika dahulu, Faciteam adalah sebuah organisasi On-Call, di mana ahlinya wujud dan hilang bergantung kepada kewujudan program, tapi kini bukan lagi begitu. Faciteam pada asalnya adalah pakatan beberapa orang rakan untuk menganjurkan atau melayan kumpulan pelajar yang melawat ke UIAM-Kuantan. Sesiapa sahaja yang lapang akan dipanggil untuk menjadi fasilitator. Masa tidak dilaburkan untuk melatih para fasilitator pada ketika itu. Kebetulan pula, mereka yang menjadi fasilitator pada ketika itu adalah dari kalangan yang memang sudah terlatih.
Biarpun gerak kerja pada ketika itu tidak diatur dengan terperinci, namun keikhlasan generasi dulu menjadi sumber inspirasi generasi kini. Para perintis Faciteam ternyata sangat optimistik dan sangat tulus menjalankan amanah sosial. Mereka sedar, siapa mereka tanpa bantuan daripada masyarakat. Lantas mereka kembali kepada masyarakat untuk membantu mereka. Mereka juga sedar, medan perjuangan sebenar bukanlah di meja tulis, tetapi di medan masyarakat. Ketulusan dan semangat mereka kita hayati hingga kini dan selamanya.
Namun perubahan demi perubahan tetap akan berlaku, seiring peredaran masa. Faciteam semakin hari semakin berkembang. Keahlian semakin bertambah. Kini, menjadi taklifan pimpinan baru untuk mengatur strategi mendidik dan memimpin seluruh anggota keluarga besar Faciteam supaya mereka menjadi fasilitator yang multidimensi. Dengan ertikata lain, Faciteam seakan menjadi bukan lagi sekadar sebuah lapangan, bahkan sebuah rumah di mana semua anggota berteduh dan belajar. Rumah ini bukan sahaja melindungi anggota daripada panas dunia, bahkan perlu melindungi anggota daripada bahang akhirat dengan berbumbungkan ajaran Islam yang sejati. Itulah masa depan Faciteam yang murni.
Mengalir dan Meresap
Mantan Timbalan Rektor UIAM, Prof Sidek Baba ada memberikan analogi menarik tentang seorang pendakwah; iaitu mereka adalah seperti air dan asap, ia mengalir dan meresap. Seorang pendakwah perlu bergerak aktif seperti air sungai yang tetap mengalir walaupun ditahan. Jika ditahan di sebelah kiri, ke kananlah ia akan mengalir. Jika ditahan di sebelah kanan, maka ke kirilah pula ia akan mengalir.
Pendakwah juga perlu berhikmah, seperti asap yang meresap ke mana sahaja. Jika diletakkan kain di sana, maka akibatnya seluruh kain tersebut akan berbau asap, kesan resapan asap tersebut. Pendakwah perlu menyampaikan dakwahnya sehingga terkesan di dalam jiwa mad’u tersebut. Janganlah menjadi seperti bola yang dilempar ke dinding, akhirnya melantun dan mencederakan kita semula. Semakin kuat lontaran itu, semakin sakitlah diri.
Berbalik kepada prinsip kefasilitatoran, begitulah juga kita dilatih di dalam Faciteam. Biarlah kita menjadi asap dan air, kita akan terus mengalir dan terus meresap walau apa jua halangan di hadapan kita.
A Good Dai’ is a Good Facilitator
Kata-kata yang pernah diucapkan di hadapan pelajar pengambilan 2007/2008, bahawa setiap fasilitator adalah pendakwah. Semakin baik skil kefasilitatoran kita, maka semakin baiklah teknik penyampaian kita. Maka semakin berkesanlah proses dakwah kita.
Namun bukan itu sahaja ciri-ciri pendakwah. Setiap fasilitator juga perlu menyiapkan diri masing-masing dengan ilmu di dada. Proses pembersihan jiwa dan hati perlu sentiasa dihayati dan dilakukan oleh kita. Kita perlu sentiasa positif dengan potensi diri kita, bahawa kita boleh menjadi insan yang baik, insan yang diredhoi Allah pada setiap tindakan kita. Itulah hikmah di sebalik Qada’ dan Qadar; supaya kita sentiasa optimistik dan positif.
Mengakar dan Merimbun
Dalam mengatur strategi dakwah menerusi aktiviti kefasilitatoran, kita perlu berhomologi degnan masyarakat setempat. Kumpulan sasar kita perlulah menerima kehadiran kita, supaya kita dapat sampaikan kandungan dakwah tersebut. Faktor keserasian amat berperanan dalam menyampaikan dakwah, apalagi dakwah Bil-Haal.
Maka sekali lagi mantan Timbalan Rektor yang dikasihi bermadah, bahawa pendakwah perlulah ‘mengakar ke dalam masyarakat, dan merimbun melindungi mereka’. Untuk mengakar, setiap fasilitator perlu memahami latar belakang para peserta atau mad’u dari pelbagai aspek. Faktor sejarah juga amat berperanan dalam proses ini. Jika tidak, masakan kita dapat merasai apa yang dirasa oleh mad’u tersebut. Inilah yang dikatakan empati dalam mewujudkan faktor homologi.
Terdapat salah tafsiran dalam memahami faktor homologi dalam berdakwah. Ada yang mengatakan jika ingin memahami jiwa mat rempit, maka kita perlu turut merempit. Fahaman ini ternyata salah. Di samping mengakar, pendakwah juga perlu merimbun, di mana mereka perlu melindungi masyarakat. Mereka perlu mengelakkan diri dari terjebak dengan perkara buruk yang dilakukan oleh masyarakat, bukan bersama-sama melakukan perkara tersebut. Pendakwah perlu bertindak ‘menarik’ mad’u kepada kebenaran, bukan ‘menolak’. Dengan erti kata yang lain, pendakwah tersebut perlulah berada dalam ‘kawasan kebenaran’ dahulu jika mahu ‘menarik’ mad’u tersebut. Begitulah indahnya jika kita memahami konsep dakwah dalam kegiatan harian kita. Namun sekali lagi kita harus ingat, potensi diri kita adalah sangat besar. Jangan jadikan itu sebagai alasan untuk melarikan diri daripada arus perjuangan ini.
Belajar, Diajar, dan Mengajar
Fasilitator perlu punya kefahaman yang betul dalam setiap perkara. Untuk mencari kebenaran, kita perlu mengamalkan keterbukaan. Belajarlah dari sesiapa sahaja. Tanamkan di dalam hati sikap mahu belajar, diajar, dan mengajar supaya proses pembelajaran itu tidak akan terhenti sehingga ke akhir hayat.
Kadangkala kita dapat belajar daripada penagih dadah. Ada kalanya kita belajar daripada mat rempit. Sedarkah kita tentang cerita bahawa Imam Syafie pernah belajar daripada perompak ketika di dirompak?
“Semasa meneruskan perjalanan untuk mencari ilmu bersama satu kafilah merentasi padang pasir, sekumpulan perompak telah merompak mereka. Ketua perompak tersebut mendekati Imam Syafie dan meminta beliau menyerahkan segala harta yang dia ada. Imam Syafie menyerahkan kesemuanya kecuali kitab-kitabnya. Beliau merayu supaya kitab itu tidak diambil kerana segala ilmunya berada di situ. Lantas ketua perompak itu mengherdik Imam Syafie kerana membiarkan ilmunya di dalam buku, tidak dihafalnya. Dia turut memberi amaran, jika dia berjumpa lagi Imam Syafie, dia akan pastikan Imam Syafie ingat apa yang dipelajarinya. Selepas itu Imam Syafie terus menghafal kitab-kitabnya dengan tekun.”
Mungkin cerita tersebut tiada asasnya, namun pengajaran di sebalik kisah tersebut sangat jelas; kita perlulah bersedia belajar, diajar, dan mengajar. Tiada manusia yang lengkap dan unggul. Semua orang perlu melengkapkan orang yang lain. Itulah konsep hidup bermasyarakat.
Kita juga perlulah menjatuhkan ego diri untuk merelakan diri kita diajar. Banyak kisah-kisah para sahabat dan ulama’ terdahulu yang dapat kita ambil pengajaran daripadanya. Luangkanlah masa membaca kisah-kisah itu sebagai perisai dan senjata untuk berhadapan dengan cubaan dunia.
Berasimilasi dengan Dunia Semasa
Antara permasalahan yang dihadapi oleh mahasiswa masa kini ialah kegagalan mereka untuk berasimilasi dengan dunia semasa. Sebagai pewaris kepimpinan dunia dan negara, mereka perlu memahami dan menceburkan diri dalam pembinaan tamaddun negara. Tidak kira bagaimana kita mampu untuk menaburkan jasa membantu membengunkan negara, tetapi niat murni itu perlulah diteruskan walau sehebat mana sekalipun sindiran yang dihemburkan kepada kita. Jadilah seperti burung pipit dalam kisah Nabi Ibrahim, ia cuba sedaya yang mampu untuk memadamkan api yang membakar Baginda, walaupun ternyata dia tidak akan mampu.
Sebagai fasilitator, perlulah kita mengikuti perkembangan dunia semasa, terutama perkembangan setempat. Ini penting untuk mengenalpasti sensitiviti sesebuah masyarakat, dan untuk menyedarkan masyarakat tentang sesuatu yang berlaku di dunia. Ada ketikanya kita perlu bersahaja, dan ada ketikanya kita perlu serius, terutama apabila berbicara tentang agama. Tapi awas, jangan sampai terbawa dek emosi. Dan jangan juga sampai kita dilihat tidak matang dan tidak mesra, lantas misi dakwah tergendala akibat mad’u lari meninggalkan kita.
Ada kalanya, kita perlu lantang membela masyarakat. Namun sekali lagi, kita perlu sangat berwaspada akan fitnah jika kita terlalu lantang. Jalan yang lebih baik ialah bersahaja dan tenang apabila menghadapi masalah. Kumpulkan kekuatan iman dan pasukan untuk menghadapinya.
Membina Persefahaman dalam Kumpulan
Faktor besar yang menjayakan kerajaan Islam pada zaman khalifah dahulu adalah kesepaduan. Mereka tidak memikirkan kepentingan peribadi, malah menggadaikan diri untuk agama dan negara. Mereka berkorban jiwa untuk membantu saudara mereka. Mereka faham dengan jelas apa misi bersama. Tidak ada percanggahan, tidak ada agenda sampingan.
Kita menyusuri sejarah untuk belajar daripadanya. Sepatutnya kita memahami apakah perjuangan yang kita sedang lalui. Kita sedar, siapa kita di sisi Tuhan. Tidak ada kebahagiaan tanpa kesusahan. Tuhan telah menawarkan kepada kita jual-beli yang sentiasa akan menguntungkan kita. Untuk berniaga, kita perlu ada modal. Inilah modal yang akan kita bawa. Modal tenaga yang kita kerahkan, modal titik peluh yang kita titiskan…itu semua akan menjadi saksi kepada kita di dunia sana.
Jangan khuatir akan sengsara. Jangan risaukan akan bencana. Jangan takutkan akan kegagalan. Semuanya adalah takdir Tuhan. Yang perlu kita lakukan adalah berusaha. Tuhan telah janjikan kasih sayangnya kepada hambanya yang mengasihi diriNya lebih daripada kejayaan dunia, pangkat, dan diri sendiri. Berjuanglah! Teruskanlah dan bermegahlah dengan mengatakan bahawa diri anda adalah seorang PEJUANG!

Comments

  1. su...afzan ni..slm ziarah n thanks for the sharing.

    su letak la shoutbox kat blog su ni..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts